Thursday, May 6, 2010

Kerajaan menyokong Landskap Malaysia dengan pemberian geran RM2 juta





Najib Tun Razak menyatakan sesuatu kepada Abdullah Ahmad Badawi semasa melawat pameran sambil diperhatikan Jeanne Abdullah (dua dari kiri) pada Forum Hijau Malaysia di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 26 April - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan geran bernilai RM2 juta kepada Landskap Malaysia untuk melaksanakan program landskap dan pemeliharaan alam sekitar.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah meremehkan kepentingan penanaman pokok yang merupakan sumber oksigen untuk membersih dan menyejukkan udara secara semula jadi.
"Saya gembira dengan pengumuman Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk menanam 26 juta pokok dari 2010 hingga 2014.

"Agak mendukacitakan apabila ramai orang hanya melihat pokok sebagai balak yang mempunyai nilai wang, ini merupakan bala kepada alam sekitar," katanya.

Beliau berucap merasmikan Forum Hijau Malaysia (MGF) anjuran Landskap Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat Landskap Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Forum tersebut diadakan sebagai sokongan ke atas kenyataan Najib pada Persidangan Perubahan Iklim di Copenhagen, Denmark, Disember tahun lalu untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020.

Najib berkata, sebagai Pengerusi Majlis Teknologi Hijau, beliau memantau rapi untuk memastikan sasaran Malaysia untuk mengurangkan pelepasan karbon dapat dicapai.
"Saya ingin memaklumkan bahawa persediaan satu kerangka yang memfokus kepada sektor tenaga, sisa dan perhutanan sedang giat dilakukan," katanya.

Beliau berkata, banyak usaha perlu dilakukan untuk meyakinkan rakyat supaya mereka menyesuaikan diri dengan gaya hidup yang dapat membawa manfaat kepada alam sekitar.
"Kita juga berdepan halangan untuk mencari tenaga alternatif yang efektif dari segi kos.
"Kita bergantung kepada negara maju untuk mengakses teknologi hijau dan ia terlalu mahal untuk digunakan secara luas," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru supaya program penyelidikan, pembangunan serta pengkomersialan memfokus kepada usaha mengurangkan kos teknologi supaya ia boleh dimanfaatkan oleh rakyat.

"Memandangkan alam sekitar merupakan isu global, saya menggalakkan institusi penyelidikan dan industri tempatan supaya bekerjasama dengan universiti atau syarikat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, banyak bank komersial belum bersedia untuk terlibat dalam projek teknologi hijau kerana menganggap ia berisiko dan takut dengan kegagalan.

"Minda takut gagal perlu diubah dengan menganggap kegagalan itu sebagai pengajaran untuk kebaikan jangka panjang," katanya.

No comments:

Post a Comment